Perutusan YDP


Assalamualaikum w.b.r dan salam sejahtera kepada semua pengunjung yang melayari Portal MPKj.

Dikesempatan ini saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua warga MPKj. Menjelang Tahun 2015 ini, MPKj berazam untuk terus komited dalam meningkatkan perkhidmatan pengurusan perbandaran kepada semua pelanggan dan penduduk kearah mewujudkan sebuah perbandaran yang Selesa, Selamat, Maju dan Aktif.

Seiring dengan kepesatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (I.C.T), portal ini adalah wadah yang terbaik untuk para pengunjung dan pelanggan MPKj mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan yang ditawarkan serta menyampaikan maklumbalas positif ke arah meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan MPKj. Sempena Tahun 2015 ini, saya menyeru semua warga kerja MPKj dan seluruh penduduk MPKj untuk meningkatkan jalinan kerjasama yang lebih erat ke arah menjadikan perbandaran kita lebih bersih, selesa dan maju.

Terima kasih atas sokongan anda dan selamat melayari Portal MPKj.



Y.BRS TUAN MOHD SAYUTHI BIN BAKAR SMS.
YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN KAJANG

Promotion

smilesmilesmile smile smile smile smile smile smile

Friday, April 23, 2010

Senamrobik Poco-poco



11hb April – Amalkan Gaya Hidup Sihat, itulah mesej yang hendak disampaikan melalui Program Senamrobik Poco-Poco yang dianjurkan oleh Jabatan Khidmat Kemasyarakatan, Majlis Perbandaran Kajang di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi.

Seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada Ibu Tunggal, penerima bantuan Program Pembasmian Kemiskianan Bandar(PPKB), warga MPKj dan juga penduduk-penduduk Bandar Baru Bangi telah hadir bagi memeriahkan program tersebut. Program senamrobik poco-poco ini diketuai oleh Encik Abdul Rahman bin Ali.

Syabas warga MPKj kerana merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang sihat melalui amalan gaya hidup yang sihat. Adalah diharapkan program-program sebegini diadakan secara tetap setiap bulan bagi mewujudkan masyarakat yang aktif dan sihat.


Sumber :
Bahagian Komuniti, Jabatan Khidmat Kemasyarakatan, MPKj.


MPKj Fun Race 2010



4 April 2010 - Majlis Perbandaran Kajang dan Persatuan Kembara Negara telah menganjurkan Program MPKj Fun Race 2010 bertempat di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Sebanyak 35 pasukan yang terdiri daripada orang awam, kakitangan MPKj, MPP serta pelajar-pelajar IPTA dan IPTS telah menyertai program ini.

Kategori yang ditetapkan oleh jawatankuasa pertandingan adalah untuk kategori terbuka dan IPTA/IPTS diwakili oleh 2 orang peserta bagi 1 pasukan dan bagi kategori kakitangan MPKj dan MPP pula seramai 4 orang bagi 1 pasukan. Dianggarkan jumlah peserta MPKj Fun Race ini adalah seramai 200 orang secara keseluruhannya.

Sebelum bermulanya acara MPKj Fun Race ini, para peserta dan orang awam dijemput untuk bersama menyertai aktiviti senamrobik yang telah diketuai oleh instruktor jemputan. Ianya adalah sebagai sesi pemanas badan dan aktiviti senaman pagi.

Disamping itu juga, pihak urusetia dikalangan MPKj telah mengadakan beberapa aktiviti seperti gerai jualan, pertandingan mewarna, acara sukaneka bagi kanak-kanak, pertandingan karaoke terbuka, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pusat Perubatan Az-Zahrah dan pameran dari agensi kerajaan (PDRM,AADK, Jabatan Penjara Malaysia dan JPA). Kesemua aktiviti sampingan ini, dijalankan ketika pertandingan MPKj Fun Race sedang dilangsungkan khusus untuk orang awam.

Sesi perasmian penutup bermula pada pukul 2.00 petang yang telah dilaksanakan oleh YBhg. Dato' Hasan Nawawi bin Abd Rahman, Yang DiPertua MPKj. Seterusnya majlis disambung dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang dan sesi bergambar.


Sumber :
Bahagian Kebudayaan & Rekreasi dan Muzium & Perpustakaan,
Jabatan Khidmat Kemasyarakatan, MPKj.




Futsal PBT Selangor



Pada 3 April 2010 bertempat di Sport Planet Bandar Teknologi Kajang telah diadakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah bagi acara Futsal Sukan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor 2010.

Sebanyak 12 PBT di Selangor telah menyertai kejohanan tersebut. Bagi kategori lelaki, tempat pertama telah dimenangi oleh PBT MPSJ manakala bagi kategori perempuan juga dimenangi oleh MPSJ.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Dato' Hasan Nawawi bin Abd Rahman, Yang Dipertua MPKj. Tetamu yang hadir adalah Tuan Timbalan Yang DiPertua, Ahli Majlis Lee Learn Eng, Pengarah-Pengarah Penguatkuasa Selangor serta Pengarah-Pengarah Jabatan Majlis Perbandaran Kajang.

Sumber :
Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan, MPKj.

Monday, April 19, 2010

Latar Belakang Kajang

Kajang dan kawasan sekitarnya merupakan sebuah mukim yang terletak di dalam Daerah Hulu Langat di Negeri Selangor. Ia terletak lebih kurang 14 batu di sebelah tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungi melalui jalan raya dan jalan keretapi. Kajang juga dapat dihubungkan dengan Putrajaya, Pusat Pentadbiran Negara dan Cyberjaya Bandar Multimedia Negara. Di sebelah baratnya pula terletak Bandar Puchong, Batu 3 dan Klang. Pada dasarnya Kajang terdiri dari beberapa penempatan Melayu, Cina dan India.


Kawasan perkampungan rata-rata didiami oleh orang-orang melayu. Orang-orang cina tinggal secara berselerak di sekitar Bandar Kajang. Manakala kawasan-kawasan ladang getah didiami oleh orang-orang berketurunan India. Jika dilihat dari sudut topografinya pula, Mukim Kajang adalah terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut. Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di Mukim Kajang.



Masyarakat Melayu Tradisional gemar meneroka tempat kediaman di lembah-lembah sungai iaitu di lembangan-lembangan. Terutamanya di lembah-lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Lukut. Sebenarnya pengertian Selangor bermakna Tanah Lembangan Lima Bintang Sungai-sungai tersebut. Pada waktu itu sungai menjadi jalan perhubungan untuk keluar masuk bagi satu-satu kawasan penempatan. Lembah-lembah sungai ini sangat subur untuk bercucuk tanam dan ia sesuai dengan petani-petani yang bergantung hidup kepada tanah. Mereka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Kewujudan pekan Kajang juga bertitik tolak daripada faktor-faktor ini. Terdapat beberapa cerita lisan berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan sekitarnya. Menurut orang-orang tua, Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan. Menurut seorang pengkaji sejarah tempatan En. Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang asli yang berpusat di Klang. Pada waktu itu Klang diperintah oleh orang-orang asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam. Ketua ini mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan ini adalah pusat pentadbiran bagi orang-orang asli. Klang mempunyai jajahannya yang tersendiri yang ditadbirkan oleh 3 orang anak kepada Batin Seri Alam.

PROGRAM TANAM POKOK MPKj- AEON JUSCO


Bandar Mahkota Cheras , 27 Mac 2010 – MPKj hari ini telah bekerjasama dengan AEON Jusco (M) Sdn Bhd bagi Program Menanam Pokok sebagai sebahagian projek CSR (Corporate Social Responsibilty) yang diadakan di AEON Jusco Bandar Mahkota Cheras.

Projek ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan disertai beberapa Ahli Exco yang lain. Program ini berjaya menunjukkan kerjasama erat antara PBT dan syarikat korporat bagi menghijaukan lagi negeri Selangor dengan lebih banyak pokok.

Sebanyak 3000 pokok telah ditanam dan program ini turut disertai oleh pelajar-pelajar sekolah berdekatan , persatuan penduduk dan agensi kerajaan yang lain.

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA 2010


Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2010 telah diadakan pada 27hb Februari 2010, bertempat di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, jam 3 petang.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin. Antara yang turut hadir ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, ADUN Kajang YB En. Lee Khim Sin, En. Isa bin Haji Ahmad Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara, YDP MPKj Dato' Hasan Nawawi bin Abd Rahman, Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haji Zainal Abidin A'la, Ahli-ahli Majlis MPKj dan pegawai-pegawai dari Kementerian.

Seterusnya majlis diteruskan dengan aktiviti penanaman beberapa pokok Cempaka Putih oleh Datuk Seri Panglima Haji Lajim dan lawatan ke gerai-gerai pameran dan jualan dengan diiringi oleh ADUN Bangi.

Sumber :
Bahagian Landskap, Jabatan Perancangan Pembangunan, MPKj.